Kenal gambar di atas? Nah, inilah Cicak Tokek atau dalam bahasa Dusun Kimaragang ialah POTOKI. Kenapa saya tiba-tiba memaparkan gambar tokek? Sebab saya terbaca dalam Utusan Malaysia online bahasa kes penculikan seorang ahli perniagaan dari Malaysia di Pulau Jolo adalah disebabkan oleh Cicak Tokek. Hmm, betulkah? Jom baca berita penuh tersebut:
KUALA LUMPUR 15 Mei – Penculikan seorang ahli perniagaan Malaysia di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu dipercayai berpunca daripada keinginan mangsa untuk mencari tiga ekor cicak tokek yang kononnya dipelihara di sebuah perkampungan di pulau itu.
Mangsa, Nazarudin Saidin, 38, yang baru beberapa bulan berjinak-jinak dalam perniagaan cicak tokek dikatakan sanggup mengeluarkan wang perbelanjaan sebanyak RM4,500 untuk pergi ke Filipina menemui pemilik cicak itu yang dikenali sebagai Ghafar.
Perkara itu didedahkan oleh rakan mangsa, dikenali sebagai Ali yang mendakwa, Nazarudin dipercayai terpedaya dengan pelawaan Ghafar untuk pergi ke Filipina dan melihat koleksi cicak tokek milik lelaki terbabit untuk dijual.
Ali mendakwa, mereka dan beberapa lagi rakan pada mulanya melabur dalam perniagaan itu bersama seorang lagi kenalan dari Filipina yang dikenali sebagai Dr. Rodi, namun kerana kesempitan duit, Ghafar dilihat begitu berminat untuk membantu.
“Menurut Ghafar, dia mempunyai tiga ekor cicak tokek yang disimpan di rumah ibu mertuanya di Zamboanga dan atas galakan Dr. Rodi, kami mahu melihat sendiri haiwan itu.
“Bagaimanapun, Ghafar kemudian datang sendiri ke Kuala Lumpur memberitahu, cicak itu tiada di Zamboanga sebaliknya disimpan di sebuah perkampungan di Pulau Jolo dan saya bersama Dr. Rodi merasakan ada sesuatu yang tidak kena lantas mahu membatalkan hasrat itu,” kata Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Namun, dakwa Ali, Nazarudin tetap mahu ke sana dan berlepas pada 27 April lalu setelah menyediakan perbelanjaan sebanyak RM4,500 kerana mahu melihat sendiri koleksi cicak tokek milik Ghafar.
“Dia kemudian menghubungi saya beberapa hari kemudian dan memberitahu tidak melihat cicak itu lagi kerana ia berada di atas gunung di Pulau Jolo.
“Malangnya, pada 8 Mei lalu, Dr. Rodi menghubungi saya dan memberitahu, Nazarudin diculik dan ketika itu barulah kami tahu bahawa semua ini berkemungkinan perangkap Ghafar,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Ali mendakwa, dia diminta menyediakan 80 juta Peso (RM5.6 juta) untuk membebaskan Nazarudin ketika menghubungi penculik itu.
“Mereka meminta 5 juta Peso (RM348,317) sebagai duit pendahuluan dan disediakan beberapa hari ini jika tidak mahu melihat nyawa kawan saya itu terancam.
“Jumlah itu terlalu besar untuk disediakan keluarga Nazarudin mahupun kami kawan-kawannya. Apa yang kami pinta, penculik itu menangguhkan waktu serta bantuan dari kerajaan Malaysia untuk membebaskan dia,” katanya.
Nota sampingan: Macam-macam boleh jadi zaman sekarang ini.






komen-komen