Category Archives: kraftangan

Kraftangan di rumah (4)

google image
bidai di rumah saya - alas meletak Saab dan Rolibu itu adalah bidai.

Kenal benda di atas?
Kali ini saya akan memperkenalkan satu lagi kraftangan yang terdapat di kediaman Dusun Kimaragang iaitu bidai, atau tikar rotan dalam Bahasa Melayu. Bidai diperbuat daripada rotan. Biasanya, bidai dijadikan sebagai alas lantai untuk duduk, meletak barang-barang, dan tidak kurang juga digunakan sebagai alas lantai sewaktu makan. Bidai, sangat tahan lama. Jika dijaga dengan baik dan cermat, boleh bertahan bertahun-tahun lamanya.

Kraftangan di rumah (3)

Kraftangan di rumah kediaman Dusun Kimaragang kali ini akan membawakan tentang Sirung (Conical hat). Sirung diperbuat daripada rotan dan seperti juga alatan atau kraftangan yang lain memerlukan kepakaran yang tinggi untuk menghasilkannya. 




Pelbagai aneka Sirung.
(gambar dari google image)

Sirung, pada zaman kanak-kanak saya, hanyalah berwarna kosong, tetapi kini sudah pelbagai. Sepanjang pengalaman saya, sirung ini digunakan oleh masyarakat Dusun Kimaragang sebagai alat untuk melindungi kepala daripada terik matahari ketika pergi “mongumo”- bekerja atau bercucuk tanam di ladang atau kebun. Boleh dikatakan, sirung ini sama fungsinya dengan topi yang ada pada masa sekarang. Selain daripada itu, sirung juga boleh dijadikan sebagai tudung saji. 

Kini Sirung jarang sekali digunakan untuk ke ladang (emak saya sendiri juga sudah tidak pernah menggunakannya lagi). Sirung kini biasanya dijadikan hiasan dinding rumah.

kraftangan di rumah (2)

Untuk bahagian kraftangan di rumah kali ini, saya akan memperkenalkan 2 alatan yang sering terdapat di rumah kediaman Dusun Kimaragang.
Saab (kanan), Rilibu/Rolibu (kiri)
Pernah nampak?
Mungkin juga dalam bahasa melayu kedua-duanya dipanggil Nyiru tetapi dibezakan dengan nyiru bulat atau nyiru bujur. Bagi orang Kimaragang, nyiru yang bulat dipanggil Saab dan Rilibu bagi yang bujur. Kegunaanya juga hampir sama tetapi masih ada bezanya. Kedua-duanya digunakan untuk “mangatap” atau dalam bahasa melayunya menampi padi. Tetapi biasanya, apa yang selalu saya aplikasikan, saab akan digunakan untuk “mangatap” padi yang baru dituai dan telah dipisahkan dari tangkainya dan bertujuan untuk mengasingkan biji padi yang berisi dengan yang kosong. Rilibu pula sesuai digunakan untuk “mangatap” beras yang telah diproses (ditumbuk menggunakan lesung dan kayu penumbuk atau  digiling) untuk mengasingkan hampas-hampas kulit padi atau “tapol”. Selain itu, rilibu juga sering digunakan untuk kerja “meniri” oleh orang Kimaragang. Proses meniri ini adalah proses mengasingkan beras dengan biji-biji padi yang tidak lumat selepas menumbuk padi. Proses meniri memerlukan kemahiran yang tinggi. Biasanya, dalam proses ini, beras akan dipaksa untuk berada di depan rilibu dan biji-biji padi pula akan ke belakang rilibu melalui gerakan -kiri, tengah dan kanan-. Proses meniri yang mengambil masa 15 minit, atau juga 30 minit (bergantung kepada kemahiran individu dan jumlah beras dalam rilibu) dan akan menghasilkan irama yang mengasyikkan.

Kraftangan di rumah (1)

Perasaankah anda bahawa peralatan yang sering digunakan dalam kehidupan seharian merupakan kraftangan? Ya atau tidak? Dalam kalangan suku kaum saya iaitu Dusun Kimaragang, terdapat beberapa peralatan yang sering kami gunakan  merupakan kraftangan (kalau cantik boleh diberikan sebagai hadiah atau “tanda mata” kepada kawan-kawan)..(^_^)

“Takiding” (mungkin ejaannya agak dimelayukan), tetapi yang biasa saya dengar orang akan menyebutnya “Tokiding” (mungkin juga saya dipengaruhi oleh sebutan “melayu-dalam” orang-orang di tempat saya. Namun, apa pun sebutannya ianya masih membawa maksud yang sama dan bagi Dusun Kimaragang, ianya dipanggil sebagai “Pataan”.

Pataan (kiri), Wakid (kanan)
gambar koleksi sendiri (ini saja yang ada- sudah hampir rosak sebab kerap kali digunakan)
Pataan yang diperbuat daripada “wakau (rotan), sangat terkenal digunakan untuk menyimpan padi yang baru dituai (juga dipakai ketika menuai padi), jagung, daun tembakau dan juga benda-benda kecil. Alat ini juga sering digunakan oleh orang-orang Kimaragang untuk mengangkut bahan-bahan jualan (ke tamu) seperti sayur dan buah-buahan.
Bagi tujuan untuk mengangkut bahan yang lebih berat pula, kebanyakan orang Kimaragang akan menggunakan satu lagi jenis tokiding yang disebut wakid . Alat ini diperbuat daripada jenis bambu yang dipanggil sebagai”wulu”(saya sendiri tidak begitu pasti jenis yang mana satu kerana orang Kimaragang ada mengklasifikasikan bambu kepada tiga jenis iaitu “Wulu”, “Taur”, dan Tumbalang”. Wakid digunakan untuk mengangkut biji kelapa, ubian dan pelbagai produk yang lain dan agak kurang selesa sedikit berbanding jika anda menggunakan pataan.